Blog ini adalah blog peribadi Miss Engineer. Segala yang ditulis dalam blog ini adalah pendapat penulis sendiri. Segala rujukan yang berkaitan akan dinyatakan (jika perlu). Penulisan dalam blog ini akan berubah-ubah mengikut situasi dan keperluan. Ada juga cerita santai tentang kehidupan penulis. Enjoy !

Jika ada salah silap harap dimaafkan. Semoga apa yang dikongsi dalam blog ini akan memberi manfaat pada semua pembaca.

12 February 2014

Tips Elak Diragut


Saya ada baca beberapa tips untuk elak diri daripada diragut di surat khabar. Harap perkongsian ini memberi manfaat.


1) Jika berjalan kaki ikut arus kenderaan yang bertentangan supaya boleh nampak sebarang keadaan yang mencurigakan.

2) Rapatkan beg ke badan dan pegang erat dengan kedua-dua tangan sekaligus, menunjukkan tanda dalam keadaan berhati-hati.

3) Bawa dompet kecil yang diletakkan dalam kocek ketika keluar berjalan-jalan.

4) Usah letak dompet atau beg tangan atas meja ketika makan di kedai.

5) Elak pakai barang kemas yang boleh dilihat dengan jelas oleh peragut.

6) Tidak sesuai diletakkan beg tangan dalam bakul motosikal.

7) Berjalan di tempat yang cerah dan tidak terlindung daripada pemandangan orang.

8) Berjalan bersama rakan

9) Jerit sekuat hati untuk tarik perhatian orang ramai apabila rasa diri diekori.

10) Bawa barang yang boleh dijadikan senjata seperti penyembur minyak wangi.



Mencegah itu lebih baik...

08 January 2014

Jaga kesihatan untuk Jaga ibadah

Semakin hari semakin berlambak produk makanan penjagaan kesihatan di pasaran. Pelbagai jenis, pelbagai fungsi, pelbagai jenama. 
Cuma diri kita sahaja perlu bijak memilih. Perlu kaji sedikit tentang produk yang hendak membeli sebelum membuat keputusan.
Pastikan produk tersebut mendapat kelulusan tertentu dari pihak yang berkenaan. Jangan main sambar sahaja !


Saya sukakan makanan tambahan (food supplement) yang boleh dikunyah hadam. Jadinya saya tak risau jika makanan tersebut tidak tercerna dengan baik atau akan menjejaskan buah pingggang.
Saya juga lebih suka yang tak perlu dibancuh. Sebab saya MALAS ! Kebiasaannya akan bersemangat wajar pada permulaan penggunaan, rajin sangat bancuh setiap hari untuk minum. Tapi, lama kelamaan akan terlupa dan dilupai.


Ada sesetengah pihak berpendapat pembelian produk penjagaan kesihatan ini adalah suatu pembaziran bukan keperluan.
Ya ! Saya juga pernah di tegur oleh hamba Allah ini kerana saya suka sangat membeli 'food supplement'. Setiap bulan saya mesti akan sediakan stok untuk diri saya. Bagi saya ia merupakan suatu keperluan.

Bukankah menjaga kesihatan penting untuk menjaga ibadah kita juga ?
Boleh jadi menjaga kesihatan adalah pahala buat kita. Belum tentu setiap hari amalan wajib kita seperti solat dan puasa diterima Allah sepenuhnya.


Kadangkala bila badan tak sihat, ibadah wajib juga akan terganggu sedikit.

Contoh paling mudah, cuba bayangkan diri sendiri ketika demam selsema. Adakah anda berasa selesa solat dalam keadaan air dari hidung mengalir laju ? Boleh jadi rukuk tak cukup tomakninah, boleh jadi sujud juga begitu. Bagaimana mahu sempurna solatnya ?

Kadangkala perkara yang kita rasa remeh itu adalah hal penting buat kita.



Dahulu (tahun sebelum ini) saya kerap demam, selsema, batuk, dan sakit situ sana sini. Kerap sahaja cuti sakit. Mudah sahaja terjangkit sakit bila ada orang sekeliling yang demam batuk selsema.
Alhamdulillah sekarang badan bertambah sihat semenjak mengambil 'food supplement' secara istiqamah. Susah untuk terjangkit sakit. Semua berlaku dengan izinNya. Paling penting kita usaha ikhtiar dahulu, barulah doa dan tawakkal.




Kata-kata akhir saya :
"Jika kita suka sakit dan tidak suka membeli supplement, jangan menghalang orang lain membeli supplement untuk menjaga kesihatan."




*Maaf, saya 'pelat'. Tak pandai bicara isu kesihatan seperti kamu, apatah lagi isu agama. Ini sahaja yang saya mampu. Tegurlah jika ada tersalah silap.*

19 November 2013

Pesanan buat isteri-isteri dan bakal-bakal isteri


Sebenarnya agak ketaq (loghat kedah bagi perkataan ketar) juga nak update blog. Cerita kali agak berat rasa buat saya tersangatlah gementar nak menaip. Kalau menulis memang dah nampak tulis macam ular kena palu. 


Pada usia lewat remaja ni (Padahal sudah tidak layak masuk kategori remaja.Ehyeke?) memang topik nikah dan rumahtangga sahajalah yang kerap hinggap ke cuping telinga. Sabar sahajalah cik konah oiiiii...


Diringkaskan ceritanya, pada hari ahad lepas saya ada terbaca perkara menarik untuk dikongsi sebagai panduan untuk diri saya dan juga orang lain. 


Saiditina Aisyah R.A meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Hai Aisyah, aku berwasiat kepada engkau. Hendaklah engkau sentiasa mengingati wasiatku ini. Sesungguhnya engkau di dalam kebajikan selama engkau mengingati wasiatku ini."

Intisari wasiat Rasulullah tersebut dirumuskan seperti berikut:
Hai Aisyah, peliharalah diri engkau. Ketahuilah bahawa sebahagian besar daripada kaum engkau (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka. Antara sebab-sebabnya ialah kerana mereka itu :

1. TIDAK dapat menahan SABAR dalam menghadapi kesakitan (kesusahan). Apabila dibalakan tidak bersabar.

2. TIDAK MEMUJI ALLAH TAALA di atas kemurahanNya (mensyukuri nikmat), atau mengkufurkan nikmat.

3. Membanyakkan KATA-KATA yang SIA-SIA. Wahai Aisyah, ketahuilah:        
a. Bahawa wanita yang menidak-menidakkan kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya akan digugurkan oleh Allah Taala amalannya.
b. Bahawa wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, maka hari kiamat Allah akan menjadikan lidahnya 70 hasta dan dibelitkan di tengkuknya.

4. Bahawa isteri yang memandang jahat (menuduh atau MENARUH SANGKAAN BURUK terhadap suaminya), Allah akan menghapuskan muka dan tubuhnya di hari kiamat.

5. Bahawa isteri yang TIDAK MEMENUHI KEMAHUAN SUAMI (yang harus/halal) di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini atau mengkhianati suaminya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu, ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka.

6. Bahawa wanita yang mengerjakan sembahyang dan BERDOA UNTUK DIRINYA TETAPI TIDAK UNTUK SUAMINYA, akan dipukul mukanya dengan sembahyangnya.

7. Bahawa wanita yang dikenakan bala ke atasnya lalu menampar-nampar mukanya atau mencarik-carikkan pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth dan tiada harapan mendapat kebajukan syafaat daripada sesiapa pun.

8. Bahawa ISTERI YANG BERZINA akan diderakan dia di hadapan segala makhluk di hadapan neraka pada hari kiamat, tiap-tiap perbuatan zina dengan 80 cemeti daripada api.

9. Bahawa isteri yang mengandung itu adalah baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan mengejarkan qiamullail pada malamnya serta pahala berjuang fisabilillah.

10. Bahawa isteri yang bersalin, bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya diganjari pahala memerdekakan seorang hamba sahaya. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anak.

11. Bahawa wanita apabila bersuami dan berSABAR daripada menyakiti suaminya, maka samalah dengan titik-titik darah dalam perjuangan fisabilillah. Dialah antara wanita-wanita yang qanita (banyak beribadat kepada Allah)


(Sumber : buku 'Motivasi Membina Jiwa Serasi' penulisan Dr. HM Tuah Iskandar)




"Dalam rumahtangga, wanitalah yang paling banyak perlu bersabar", 
kata mama saya.
Kebenarannya hanya wanita yang sudah bersuami sahaja yang tahu. Saya yang melihat tidak akan dapat merasai kesannya seperti mereka yang mengalami.



Semoga apa yang saya kongsikan ini bermanfaat buat wanita-wanita yang membacanya.
(Tegur saya jika ada salah silap)






 

Copyright © 2014 HANIM MAHALI | Designed by @anneshah_